Perlukan Bantuan Pematuhan Syarikat Anda?

Berbincang dengan pakar kami untuk pastikan syarikat anda sentiasa patuh dengan keperluan SSM dan percukaian.

Hubungi Kami WhatsApp Kami

Perangkap Duit dalam Aliran Tunai Perniagaan Anda

Ilustrasi aliran tunai perniagaan terperangkap dalam stok dan penghutang — kecairan syarikat, current ratio dan quick ratio
Salah satu analisa laporan kewangan yang paling penting untuk aliran tunai perniagaan anda adalah kedudukan kecairan (liquidity). Apakah maksud kecairan/liquidity ini? Kecairan dalam konteks kewangan adalah kebolehan meleburkan aset menjadi duit yang boleh digunakan untuk membeli barang atau membayar hutang.

Laporan Kewangan

Sekiranya kita melihat laporan kewangan, ada beberapa jenis laporan yang boleh kita nilaikan. Pertama, laporan untung rugi (profit & loss), kedua, kunci kira-kira (balance sheet), dan aliran tunai (cashflow). Untuk menganalisa kedudukan kecairan syarikat, kita perlu melihat kepada kunci kira-kira (balance sheet). Secara kasar kita boleh lihat kedudukan aset berbanding liabiliti. Sekiranya jumlah aset lebih tinggi dari liabiliti, kedudukan kewangan syarikat berada pada kedudukan yang baik.

Kadar Kecairan Syarikat

Tapi jika kita ingin mengukur kadar kecairan syarikat, kita perlu melihat kedudukan aset semasa, iaitu aset yang boleh dicairkan dalam tempoh satu tahun. Maknanya aset tetap, seperti bangunan, kenderaan dan kelengkapan pejabat tidak termasuk dalam kategori aset semasa. Tergolong dalam aset semasa termasuk tunai, tunai di bank, stok, penghutang (debtors), deposit dan yang seangkatan dengannya.Bagaimana kita hendak mengetahui kedudukan kecairan syarikat berada dalam keadaan yang baik? Kita ambil jumlah aset semasa dibahagi dengan jumlah liabiliti semasa. Apakah itu liabiliti semasa? Liabiliti semasa adalah hutang yang perlu kita bayar dalam tempoh setahun dan ke bawah, contohnya pemiutang (creditors) atau hutang kepada pembekal (supplier), bil-bil yang belum dibayar, gaji belum dibayar dan yang seangkatan dengannya.Jika jumlah aset semasa dibahagi dengan liabiliti semasa lebih dari satu (1.0), maknanya jumlah aset mencukupi untuk membayar kesemua liabiliti semasa — sekurang-kurangnya dari segi teori. Satu lagi kira-kira yang kita boleh gunakan adalah Quick Ratio, atau juga dipanggil Acid Test Ratio. Pengiraannya sama dengan pengiraan tadi, cuma jumlah stok perlu ditolak dari pengiraan jumlah aset semasa.Kenapa stok dikeluarkan dari pengiraan quick ratio atau acid test ratio? Ini kerana dalam keadaan syarikat mempunyai masalah kecairan, besar kemungkinan masalahnya berpunca dari kegagalan syarikat menjual stok yang ada. Walaupun stok dikategorikan sebagai aset dalam syarikat, dalam beberapa situasi stok tidak dapat membantu syarikat dan sebaliknya menjadi perangkap duit.Ini masa yang sesuai untuk menilai berapakah jumlah current ratio dan quick ratio yang sesuai untuk perniagaan anda, dan sama ada nilai jumlah kedua-dua ratio ini mencukupi bagi keperluan syarikat anda.Seringkali dalam perniagaan runcit (retail), kita cuba mengurangkan kos dengan membeli stok secara pukal untuk mendapatkan harga yang menarik dari pembekal (supplier). Stok ini mungkin memerangkap duit kita dan menjerumuskan kita dalam masalah kecairan. Percaya atau tidak, ada perniagaan yang terpaksa ditutup disebabkan perkara ini, walaupun laporan untung rugi menunjukkan keuntungan.

Penghutang

Adakah lagi perkara yang boleh memerangkap duit kita? Penghutang (debtors), dengan memberikan tempoh kredit yang terlalu lama. Sering kali perkara ini terjadi kerana kita terlebih teruja dalam menjual dan menginginkan jualan yang tinggi sehingga sanggup memberikan kredit yang tinggi dan terlalu lama. Sebagai contoh, bila kita memberikan kredit sehingga 12 bulan hanya kerana jumlah pembelian yang tinggi, sedangkan pembekal kita sendiri hanya memberikan kredit selama 1 bulan. Dalam situasi macam ni, duit kita jadi terperangkap dalam bentuk penghutang. Rekod invois yang kemas — termasuk ikut panduan e-Invois untuk SME — boleh bantu anda jejak penghutang dengan lebih tepat.

Pinjaman Berjangka (Term-Loan)

Satu lagi perangkap adalah Pinjaman Berjangka (Term-Loan) yang digunakan untuk pusingan modal dan komitmen jangka masa panjang seperti sewa, gaji, pembelian aset tetap dan banyak lagi. Sekiranya anda mahu kurangkan pergantungan kepada pinjaman, ada juga pilihan geran bisnes yang boleh dipertimbangkan. Satu lagi aset yang boleh menjadi perangkap duit adalah pelaburan jangka sederhana dan jangka panjang.Selalunya perkara-perkara ini, dalam situasi perniagaan yang berkeadaan baik, tidak begitu diberikan perhatian, kerana ia ditunjukkan sebagai aset dalam laporan kewangan.Ini masa yang baik untuk memeriksa kembali kedudukan kewangan syarikat dan mula membuat penambahbaikan dalam rekod kewangan dan perancangan masa hadapan. Bagi yang tidak mempunyai penyata kewangan secara online dan on-time, perkiraan di atas tidak mungkin dapat dihasilkan. Mungkin sudah sampai masanya anda melabur sikit untuk mendapatkan laporan kewangan yang dapat membantu anda menguruskan syarikat dengan lebih baik.

Soalan Lazim

Apa beza current ratio dengan quick ratio?

Current ratio ialah jumlah aset semasa dibahagi liabiliti semasa. Quick ratio (Acid Test) sama pengiraannya, cuma nilai stok ditolak dari aset semasa sebab stok tak semestinya boleh dicairkan dengan cepat.

Kenapa stok boleh jadi perangkap duit dalam perniagaan?

Bila stok dibeli secara pukal tapi tak laku jual dengan cepat, duit yang dilaburkan dalam stok tu terperangkap dan tak dapat digunakan untuk keperluan lain, walaupun laporan untung rugi masih menunjukkan keuntungan.

Macam mana tempoh kredit kepada pelanggan boleh jadi masalah kecairan?

Kalau anda beri tempoh kredit yang panjang kepada pelanggan tapi pembekal anda sendiri hanya beri tempoh pendek, duit anda terperangkap sebagai penghutang sementara anda masih perlu bayar pembekal lebih awal.

Apa langkah pertama untuk perbaiki kedudukan kecairan syarikat?

Mula dengan penyata kewangan yang kemas dan on-time supaya anda boleh kira current ratio dan quick ratio dengan tepat, kemudian nilai semula dasar stok dan tempoh kredit pelanggan anda.