Perangkap Duit di dalam Perniagaan 

Semasa musim PKP (perintah kawalan pergerakkan) sekarang, analisa laporan kewangan yang paling penting sekali adalah berkenaan kedudukan kecairan (liquidity). Apakah maksud kecairan / liquidity ini? Kecairan dalam konteks kewangan adalah, kebolehan meleburkan aset menjadi duit yang boleh digunakan untuk membeli barang atau membayar hutang.

Sekiranya kita melihat laporan kewangan, ada beberapa jenis laporan yang boleh kita nilaikan. Pertama, laporan untung rugi (profit & loss), kedua, kunci kira-kira (balance sheet) dan aliran tunai (cashflow). Untuk menganalisa kedudukan kecairan syarikat, kita perlu melihat kepada kunci kira-kira (balance sheet). Secara kasar kita boleh lihat kedudukan asset berbanding liabiliti. Sekiranya jumlah asset lebih tinggi dari liabiliti, kedudukan kewangan syarikat berada pada kedudukan yang baik.

Tapi jika kita ingin mengukur kadar kecairan syarikat kita perlu melihat kedudukan aset semasa, iaitu aset yang boleh dicairkan dalam tempoh satu tahun. Maknanya aset tetap, seperti bangunan, kenderaan dan kelengkapan pejabat tidak termasuk dalam kategori aset semasa. Tergolong dalam aset semasa termasuk, tunai, tunai di bank, stok, penghutang (debtors), deposit dan yang seangkatan dengannya.

Bagaimana kita hendak mengetahui kedudukan kecairan syarikat berada dalam keadaan yang baik? Kita ambil jumlah current asset dibahagi dengan jumlah liabiliti semasa. Apakah itu liabiliti semasa? Liabiliti semasa adalah hutang yang perlu kita bayar dalam tempoh setahun dan kebawah. Apakah contoh liabiliti semasa? Di antaranya adalah pemiutang (creditors) atau hutang kepada pembekal (supplier), bil-bil yang belum di bayar, gaji belum di bayar dan yang seangkatan dengannya.

Jika jumlah aset semasa dibahagi dengan liabiliti semasa lebih dari satu (1.0) maknanya jumlah aset mencukupi untuk membayar kesemua liabiliti semasa. Adakah ini betul? Sekurang-kurangnya dari segi teori cukup. Kebiasaannya adalah tidak mencukupi. Satu lagi kira-kira yang kita boleh gunakan adalah Quick Ratio atau juga di panggil Acid Test ratio. Dalam pengiraan quick ratio ni pengiraannya sama dengan pengiraan tadi cuma jumlah stok perlu di tolak dari pengiraan jumlah aset semasa.

Kenapa stok dikeluarkan dari pengiraan quick ratio atau acid test ratio? Ini adalah kerana, dalam keadaan syarikat mempunyai masalah kecairan, besar kemungkinan masalahnya berpunca dari kegagalan syarikat menjual stok yang ada. Walaupun stok dikategorikan sebagai aset dalam syarikat, namun dalam beberapa situasi stok tidak dapat membantu syarikat dan sebaliknya menjadi perangkap duit.

Dalam tempoh PKP ini adalah masa yang sesuai untuk menilai berapakah jumlah current ratio dan quick ratio yang sesuai untuk perniagaan anda. Anda boleh menilai sama ada nilai jumlah current ratio dan quick ratio syarikat anda mencukupi bagi tempoh PKP ini.

Seringkali dalam perniagaan runcit (retail), kita cuba mengurangkan kos dengan membeli stok secara pukal untuk mendapatkan harga yang menarik dari pembekal (supplier). Stok ini mungkin memerangkap duit kita dan menjerumuskan kita dalam masalah kecairan. Percaya atau tidak, ada perniagaan yang terpaksa ditutup disebabkan perkara ini. Walaupun laporan untung rugi menunjukkan keuntungan.

Adakah lagi perkara yang boleh memerangkap duit kita? Penghutang, debtors, dengan memberikan tempoh kredit yang terlalu lama. Sering kali perkara ini terjadi kerana kita terlebih teruja dalam menjual dan menginginkan jualan yang tinggi sehingga sanggup memberikan kredit yang tinggi dan terlalu lama. Sebagai contoh, bila kita memberikan kredit sehingga 12 bulan, hanya kerana jumlah pembelian yang tinggi. Dalam masa yang sama kita membenarkan pembeli untuk terus membeli dalam tempoh 3 bulan tersebut. Dalam masa yang sama juga, pembekal kita hanya memberikan kredit selama 1 bulan. Dalam situasi kritikal seperti PKP duit kita terperangkap dalam bentuk penghutang.

Satu lagi perangkap adalah Pinjaman Berjangka (Term-Loan) yang digunakan untuk pusingan modal dan komitmen jangka masa panjang seperti sewa, gaji, pembelian aset tetap dan banyak lagi. Satu lagi aset yang boleh menjadi perangkap duit adalah pelaburan jangka sederhana dan jangka panjang.

Selalunya perkara-perkara ini, di dalam situasi perniagaan yang berkeadaan baik, tidak begitu di berikan perhatian. Kerana, perkara-perkara diatas ditunjukkan sebagai aset dalam laporan kewangan.




Dalam tempoh PKP ini adalah masa yang baik untuk memeriksa kembali kedudukan kewangan syarikat dan mula membuat penambah-baikkan dalam rekod kewangan dan perancangan masa hadapan. Bagi yang tidak mempunyai penyata kewangan secara online dan on-time, perkiraan di atas tidak mungkin dapat di hasilkan. Mungkin sudah sampai masanya anda melabur sikit untuk mendapatkan laporan kewangan yang dapat membantu anda menguurskan syarikat dengan lebih baik.